HELFY diusung menaiki jentera EMRS JBPM dikejar ke HGM sebaik helikopter membawanya dari Pos Balar mendarat di Perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang. FOTO RAMLI IBRAHIM
HELFY diusung menaiki jentera EMRS JBPM dikejar ke HGM sebaik helikopter membawanya dari Pos Balar mendarat di Perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysis (JBPM) menyelamatkan lelaki Orang Asli yang mengalami demam panas kritikal dan menggigil ke Hospital Gua Musang (HGM), hari ini.

Penerbangan ihsan itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada 12.50 tengah hari untuk mengambil Helfy Aga, 24, di Pos Balar.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Udara Subang, Mohd Farhan Marzuki berkata, helikopter Agusta A109E (9M-BOB) mendarat di Pos Balar pada 2.05 petang.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan Helfy mengalami demam panas kritikal dan muntah berterusan sejak tiga hari lalu hingga keletihan.

"Sebelum itu, pihaknya menerima permohonan penerbangan ihsan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak berhubung perkara itu pada 9 pagi hari ini.

"Penerbangan terpaksa dilakukan segera bagi menyelamatkan pesakit itu memandangkan dia dalam keadaan menggigil dan sukar dihantar ke hospital melalui jalan darat.

"Jalan balak menghubungkan Pos Balar ke Gua Musang masih rosak teruk dan tidak boleh dilalui kenderaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata, helikopter itu mendarat dengan selamat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada 2.35 petang.

Beliau berkata, Helfy ditemani sepupunya, Tijah Enda, 20, dalam keadaan stabil dihantar ke HGM dengan jentera EMRS disediakan JBPM.

Penerbangan ihsan itu diketuai Juruterbang Mohd Faizal Abd Latiff dan dibantu Penolong Juruterbang Fazli Ezham Jamil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 3:57 PM