TIGA kanak-kanak lelaki Orang Asli di Pos Bihai yang demam panas mengigil ditemani ibu bapa mereka berada dalam helikopter di kejar ke HGM petang ini. FOTO ihsan JBPM
TIGA kanak-kanak lelaki Orang Asli di Pos Bihai yang demam panas mengigil ditemani ibu bapa mereka berada dalam helikopter di kejar ke HGM petang ini. FOTO ihsan JBPM
Ramli Ibrahim


TIGA anak Orang Asli termasuk dua beradik di Pos Bihai, di sini, yang mengalami demam panas dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) dengan penerbangan ihsan, semalam.

Mereka berusia dua bulan, tujuh dan 14 tahun diterbangkan dengan helikopter Agusta AW 139 dari Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM, Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki berkata, tindakan segera diambil sebaik menerima laporan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak berhubung perkara itu.

Katanya, berdasarkan laporan tiga kanak-kanak Orang Asli yang tinggal berjiran di Pos Bihai itu sudah tiga hari mengalami demam panas kritikal dan kerap pengsan.

"Penerbangan itu mengambil masa sejam perjalanan dari Pangkalan Bertam, Pulau Pinang dan mendarat untuk mengambil mereka pada 12.54 tengah hari.

"Helikopter itu kemudian mendarat pula di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada 1.21 tengah hari lalu dihantar ke HGM dengan jentera EMRS," katanya.

Katanya, penerbangan itu diketuai juruterbang Penguasa Kanan Bomba I, Faizal Izani Azizan dibantu penolong juruterbang, Penguasa Bomba Mohamad Muizz Md Pisar.

"Sebelum itu JAKOA sudah berusaha untuk menghantar kanak-kanak terbabit ke HGM menerusi jalan darat tetapi gagal apabila keadaan jalan rosak teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 2:56 PM