Rohana diusung untuk dibawa ke dalam helikopter JBPM yang melakukan penerbangan ihsan menghantarnya ke HGM dari Pos Belatim, Gua Musang hari ini. Foto Ihsan JBPM
Rohana diusung untuk dibawa ke dalam helikopter JBPM yang melakukan penerbangan ihsan menghantarnya ke HGM dari Pos Belatim, Gua Musang hari ini. Foto Ihsan JBPM
Ramli Ibrahim

UNIT Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan membawa wanita Orang Asli sakit pinggang kronik ke Hospital Gua Musang (HGM) hari ini.

Rohana Alang, 32, yang tinggal di Pos Belatim, Gua Musang dilaporkan sakit pinggang hingga tidak boleh berjalan selama tiga hari menyebabkannya memerlukan rawatan segera.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki berkata, penerbangan itu menggunakan helikopter Agusta AW 139.

Menurutnya, helikopter itu berlepas dari Pangkalan Udara Bertam, Pulau Pinang pada 10.47 pagi diketuai juruterbang Penguasa Kanan Bomba I Faizal Izani Azizan selepas menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gombak pada 9 pagi.

Katanya, helikopter terbabit mendarat di Pos Belatim pada 11.37 pagi untuk mengambil pesakit itu.

"Helikopter berkenaan kemudiannya mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada 12.06 tengah hari," katanya hari ini.

Menurut Mohd Farhan, Rohana yang diiringi suaminya, Erwan Asu, 42, dihantar ke HGM dengan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM.

Sementara itu, Erwan ketika ditemui berkata, dia sudah cuba membawa isteri ke hospital melalui darat tetapi gagal kerana jalan rosak teruk.

"Akhirnya, saya terpaksa minta bantuan Jakoa menghantar isteri ke hospital dan berjaya mendapatkan penerbangan ihsan JBPM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 1:30 PM