FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Sebanyak 9.8 peratus pemohon tidak hadir pada janji temu penerimaan suntikan vaksin Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), yang bermula Mac lalu di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata majoriti pemohon menyatakan tidak hadir kerana gagal memeriksa status permohonan di aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, manakala terdapat pemohon yang berhasrat untuk menukar tarikh temujanji serta sesetengah pula menolak vaksin kerana menyatakan pendaftaran mereka dilakukan oleh keluarga.

Menurutnya, seramai 148,870 orang individu menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama dan 79,958 pemohon sudah menerima vaksin Covid-19 dos kedua sehingga semalam.

Katanya, orang ramai juga seharusnya tidak 'walk in' tanpa melakukan temu janji kerana ia meningkatkan risiko penularan Covid-19.

"Sebanyak 762 kes baharu Covid-19 dicatatkan di negeri ini semalam dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 56,993 kes.

"Kumulatif kluster aktif di negeri ini sebanyak 97 kluster dan kumulatif kematian adakah 250 kes sehingga Jumaat.

"Sebanyak 30 kluster membabitkan penularan dalam industri ;44 kluster komuniti ;16 kluster institusi ; dua kluster pasar raya ; empat kluster membabitkan tahanan dan satu kluster import," katanya menerusi kenyataan media.

Vidyananthan berkata, terdapat lima lokaliti yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes yang dilaporkan.

"Lokaliti yang terbabit adalah Felda Kahang Timur (Daerah Kluang), UTM Skudai (Daerah Kulai), Asrama Oceanic Fabric Jalan Mengkibol (Daerah Kluang), Asrama Purnabina Jalan Makasar (Daerah Kluang) dan Felda Redong Satu (Daerah Segamat).

"Sebanyak 467 didapati positif daripada 3,351 individu disaring serta mengakibatkan tiga kematian keseluruhannya sehingga kini.

"Manakala bagi kemasukan menerusi skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) sehingga semalam membabitkan 33,500 individu, sebanyak enam kes positif dicatatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 5:47 PM