GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Seorang pemandu yang dijangkiti Covid-19 mencetuskan satu lagi kluster baharu, iaitu Kluster Muhibbah Manggatal sehingga menyebabkan jangkitan menular di tiga daerah di Sabah, semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, jangkitan dalam komuniti dari kluster terbabit merekodkan penularan di Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang.

Kes indeks adalah seorang pemandu lelaki berusia 49, di salah sebuah badan berkanun di pusat bandar raya yang disahkan positif Covid-19 melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Manggatal pada 20 Jun lepas.

"Aktiviti pengesanan kontak serta saringan secara bersasar di lokaliti terbabit yang dijalankan Pasukan Kawalan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) kemudian mendapati 40 lagi kes positif termasuk enam kes baharu pada hari ini (semalam).

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 41 kes. Berdasarkan siasatan awal, penularan jangkitan berkemungkinan merebak dalam komuniti kampung berkenaan dan saringan bersasar serta siasatan lanjut masih giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan JKNS, jumlah kes positif baharu Covid-19 semalam adalah sebanyak 178 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 69,203 kes.

"Sebanyak empat kes kematian direkodkan iaitu dua kes di Tawau dan satu kes masing-masing membabitkan Kudat dan Kota Belud," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 8:03 AM