GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kluster membabitkan penularan Covid-19 di kalangan keluarga berikutan majlis sosial antara punca daerah ini masih lagi dikategorikan zon merah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata, penularan wabak Covid-19 yang masih ketara itu memerlukan kerjasama masyarakat bagi memastikan rantaian wabak dapat diputuskan.

"Wabak Covid-19 masih lagi ketara diJohor di mana daerah Johor Bahru masih lagi kekal zon merah sehingga kini.

"Kluster membabitkan penularan berskala besar di dalam keluarga berikutan majlis sosial dikesan menjadi antara punca penularan wabak dan kerajaan negeri berharap masyarakat perlu lebih berwaspada dan berhati-hati atau menghindarinya buat sementara.

"Masyarakat diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu elakkan 3S (Sempit, Sesak, Sembang Rapat ) selain memakai pelitup muka,membasuh tangan atau menggunakan cecair pembasmi kuman," katanya dalam kenyataan,hari ini.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, terdapat 102 kes baharu yang dilaporkan KKM di negeri ini, semalam.

Katanya, ia membabitkan 31 kes (30 peratus) adalah daripada kluster aktif dan kluster baharu di negeri ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 43,533 kes di seluruh negeri Johor.

"Sebanyak 42,005 kes telah pulih (97 peratus dari jumlah keseluruhan kes), dengan 1,417 kes COVID-19 yang aktif dan telah pun diasingkan dan diberi rawatan samaa da di rumah atau di hospital/PKRC.

"Sehingga semalam, kumulatif kluster aktif di negeri ini adalah sebanyak 51 kluster membabitkan 24 kluster (47 peratus) adalah penularan dalam industri, 15 (29 peratus) di dalam komuniti, enam (12 peratus) di dalam institusi, satu (2 peratus) di pasaraya , satu (2 peratus) kluster import membabitkan kru kapal dan empat (8 peratus) kluster membabitkan tahanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 1:12 PM