ALEXANDER. FOTO Arkib NSTP
ALEXANDER. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan rangkaian peruncitan, pengedaran dan pemborongan tidak terjejas sekali gus dapat memberi keyakinan kepada rakyat mendapatkan bekalan barangan keperluan asas di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dalam mengimbangi kelangsungan perkembangan ekonomi dalam negeri, salah satu daripada lima sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi adalah sektor perdagangan dan pengedaran.

Menurutnya, bagi memastikan tiada sebarang halangan atau sekatan pergerakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat yang menjalankan aktiviti perdagangan pengedaran yang dibenarkan beroperasi ini perlu mendapatkan surat notifikasi pengesahan pendaftaran.

"Sehubungan itu, syarikat yang menjalankan aktiviti perdagangan pengedaran termasuk peruncitan, pemborongan dan pengedaran boleh memohon surat notifikasi pengesahan pendaftaran dengan mengakses portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui pautan https://notification.miti.gov.

"Syarikat sektor perdagangan dan pengedaran yang belum berdaftar dengan CIMS boleh berbuat demikian melalui pautan pautan https://notification.miti.gov dan surat notifikasi pengesahan pendaftaran boleh dimuat turun oleh syarikat selepas pendaftaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexander berkata, KPDNHEP juga ingin mengingatkan supaya pihak syarikat yang dibenarkan beroperasi turut memastikan hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat dan pekerja dalam kumpulan sokongan/operasi akan ditentukan oleh majikan masing-masing serta memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Adalah menjadi tanggungjawab setiap syarikat yang diberi kebenaran mematuhi arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia dari masa ke semasa.

"Untuk maklumat lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5903 atau melalui emel kepada [email protected]," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 10:02 PM