DATUK Alexander Nanta Linggi. FOTO Luqman Hakim Zubir
DATUK Alexander Nanta Linggi. FOTO Luqman Hakim Zubir
Rafidah Mat Ruzki


AKTIVITI jual beli dalam talian mencatatkan peningkatan sebanyak 28.9 peratus pada April lalu, ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan pergerakan (PKP), bermula Mac lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, peningkatan itu dicatatkan ketika sektor perniagaan lain termasuk francais mengalami kesan besar ekoran penularan Covid-19 sejak akhir Disember lalu sehingga kini.

Beliau berkata, tinjauan yang dijalankan Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung (BPFJL) Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menunjukkan industri francais mengalami kemerosotan pendapatan ketara.

"Penularan wabak pandemik Covid-19 yang sedang melanda di seluruh dunia memberikan kesan besar kepada ekonomi, termasuk perniagaan francais. Penurunan ini terutamanya bagi subsektor makanan dan minuman mencatatkan penurunan sehingga 70 peratus, serta subsektor pendidikan yang merekodkan penurunan sehingga 80 peratus.

"Namun, aktiviti jual beli dalam talian merekodkan lonjakan yang luar biasa dengan peningkatan sebanyak 28.9 peratus pada April lalu," katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan platform beli-belah dalam talian, Shopee, di Putrajaya, hari ini.

Alexander berkata, industri francais antara industri penting di negara ini, yang memberi sumbangan nyata kepada ekonomi Malaysia.

Katanya, sehingga ini, sebanyak 583 francaisor tempatan dan 63 francaisor asing berdaftar dengan KPDNHEP manakala berdasarkan Laporan Tahunan Perniagaan Francais pada 2018, industri francais mencatatkan nilai jualan melebihi RM11 bilion.

Menurutnya, nilai jualan yang besar ini menunjukkan perniagaan berbentuk francais menjadi pilihan pengguna dan berpotensi untuk diceburi rakyat di negara ini.

Justeru, Alexander berkata, kerjasama antara Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan Shopee itu bertepatan dengan masanya, dalam usaha menggalakkan perniagaan francais secara dalam talian.

Dalam perkembangan berkaitan, Alexander berkata, KPDNHEP bakal memberi fokus kepada Kempen Beli Barangan Malaysia dan Kempen Jualan Malaysia pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, kedua-dua kempen berkenaan antara inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan kementerian itu, dalam usaha merancakkan kembali sektor peruncitan negara yang terkesan ekoran penularan wabak Covid-19.

"KPDNHEP sudah rancang dua program besar iaitu Kempen Beli Barangan Malaysia dan Kempen Jualan Malaysia dan kini dalam persediaan terakhir," katanya.

Bagaimanapun, Alexander berkata, perincian mengenai kempen itu akan diumumkan dalam masa terdekat sebelum pelancaran besar-besaran.

Katanya, biarpun kerajaan berhasrat mengutamakan promosi produk dan perkhidmatan tempatan, peranan peruncit di kompleks beli-belah yang menjual barangan import tidak akan dilupakan.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 2:17 PM