Gambar hiasan
Gambar hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sebanyak 593 pelbagai aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sepanjang seminggu sambutan Aidilfitri.

Daripada jumlah itu, 282 aduan berkaitan penipuan transaksi dalam talian.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, ia termasuklah tidak menerima barang atau perkhidmatan ditawarkan, barangan berbeza daripada iklan, tuntutan semula pembayaran dan harga yang mengelirukan.

Katanya, selain itu aduan berkaitan perkhidmatan mengelirukan juga tinggi iaitu 103 aduan yang diterima.

"Keseluruhan aduan yang kita terima sejak 1 Januari tahun ini ialah berjumlah 11,289 aduan dan tindakan sewajarnya sudah pun diambil.

"Sama juga, transaksi dalam talian mencatatkan jumlah keseluruhan tertinggi iaitu 4,560 kes.

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan pergerakan orang ramai untuk membeli-belah secara fizikal memperlihatkan jual beli dalam talian terus menjadi alternatif untuk membeli barangan diperlukan sekali gus meningkatkan jumlah aduan diterima berkait transaksi dalam talian," katanya.

Justeru, Rosol berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika berurus niaga secara dalam talian bagi memastikan barangan atau perkhidmatan diterima seperti sepatutnya.

"Pastikan anda berurusan dengan platform dan peniaga yang sah. Jangan terlalu mudah terpedaya jika mendapati ada tawaran murah yang kadang kala tidak masuk akal pun.

"Periksa betul-betul, buat semakan dulu sebelum membuat transaksi. Gunakan kemudahan disediakan pihak berkuasa contohnya seperti semakan nombor akaun atau nombor telefon dalam aplikasi disediakan Polis Diraja Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Katanya, penguat kuasa kementerian terus komited memastikan setiap aduan disiasat dan diambil tindakan sebaik mungkin bagi melindungi hak pengguna.

"Pegawai dan anggota kita bertugas sepanjang Aidilfitri ini bagi memastikan setiap aduan diterima itu diuruskan sebaik mungkin.

"Jadi saya nasihatkan orang ramai supaya memberikan maklumat yang sahih, lengkap dan tepat agar tindakan boleh diambil segera," katanya.

Orang ramai boleh membuat aduan menerusi portal e-aduan KPDNHEP; Call Centre 1-800-886-800; e-mel kepada [email protected]; Ez ADU KPDNHEP; Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 atau WhatsApp kepada 019-2794317.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 5:57 PM