ROSOL (tengah) berbual bersama kakitangan bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP. FOTO Ihsan Pejabat Timbalan Menteri
ROSOL (tengah) berbual bersama kakitangan bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP. FOTO Ihsan Pejabat Timbalan Menteri
Yusmizal Dolah Aling


PUSAT Arahan Penguatkuasaan (ECC) Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 10,433 aduan sejak Januari lalu sehingga hari ini.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, daripada jumlah itu, sejumlah 8,592 aduan sudah disiasat dan sebahagian besar membabitkan harga barang, selain isu transaksi dalam talian, perkhidmatan mengelirukan, mengenai barang kawalan dan perihal dagangan palsu.

Katanya, ia bukan satu tugas mudah untuk mengendalikan sebegitu banyak aduan untuk diambil tindakan yang sewajarnya, apatah lagi penguat kuasa kita bekerja tanpa mengira waktu.

“Justeru, kita harap pengguna dapat bertolak ansur sekiranya ada aduan yang mengambil sedikit masa untuk tindakan berikutan banyak prosedur siasatan perlu diperhalusi sebelum sesuatu tindakan boleh diambil,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau turut mengambil kesempatan meraikan petugas bahagian berkenaan sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa Ke-48 KPDNHEP hari ini.

Katanya, beliau menghargai komitmen mereka yang bekerja keras demi menjaga kepentingan pengguna terutama ketika negara melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah masuk fasa ketiga.

“Ketika orang lain dapat duduk di rumah bersama keluarga sepanjang PKP, warga Penguat Kuasa KPDNHEP tetap komited menjalankan tugas turun padang memantau barang keperluan dan harga barang serta menerima aduan awam,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 11:15 PM