ROSOL Wahid (kiri) membuat tinjauan harga barang kawalan di pasar raya Econjaya di Bandar Jertih, Besut. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
ROSOL Wahid (kiri) membuat tinjauan harga barang kawalan di pasar raya Econjaya di Bandar Jertih, Besut. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Sebanyak 11,065 premis diperiksa di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2021 sejak 8 Februari sehingga semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, ia membabitkan 10,808 premis runcit dan 257 premis borong.

Beliau berkata, daripada pemeriksaan itu sebanyak 122 kes dikesan membabitkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga (79 kes), gagal guna tanda harga khas merah jambu (36 kes) dan menjual melebihi harga maksimum (tujuh kes).

"Jumlah sitaan keseluruhan adalah RM6,122.91 serta jumlah kompaun RM14,600 sebelum SHMMP berakhir dua hari lagi.

"Johor merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 56 kes, diikuti Perak 15 kes dan Sabah 13 kes," katanya ketika membuat tinjauan harga barang di pasar raya di bandar Jertih, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Rosol berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19, turut menyaksikan peningkatan jumlah aduan transaksi berhubung aktiviti penjualan dalam talian.

"Januari 2021, jumlah aduan transaksi dalam talian tertinggi direkodkan iaitu 794 kes dengan 37.9 peratus, diikuti perkhidmatan mengelirukan sebanyak 384 kes (18.3 peratus) serta aduan harga sebanyak 376 kes (17.9 peratus).

"Trend penipuan dalam talian ada peningkatan, namun tindakan hanya boleh diambil kepada pesalah yang berada di dalam negara sahaja.

"Justeru kita nasihatkan pengguna lebih berhati-hati sebelum membuat pembelian, guna platform sudah kukuh serta bertapak di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima aduan peniaga supaya membenarkan operasi perniagaan dipanjangkan dari 10 malam ke jam 12 tengah malam.

Menurutnya, terdapat aduan pengusaha katering yang terkesan hampir setahun supaya mempertimbang permohonan mereka untuk kembali beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 6:04 PM