FOTO hiasan
FOTO hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 402 aduan berkaitan penipuan jualan gajet dalam talian bermula 1 Januari hingga 12 Julai tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, 598 jenis barangan berkaitan penipuan berkenaan direkodkan dengan telefon bimbit yang tertinggi iaitu 353 aduan.

Kata beliau, komputer riba juga mencatatkan aduan tinggi iaitu 174 manakala tablet (30), komputer (26) dan kamera dengan 15 aduan.

"Selain media sosial, platform e-Dagang mencatatkan 177 aduan manakala laman web pula 19 aduan.

"Daripada segi jenis aduan, tidak menerima barangan mencatatkan 522 kes, barang diterima tidak sama seperti diiklankan sebanyak 74 kes dan barang tiruan dalam talian pula dua kes," katanya.

Rosol berkata, pihaknya berharap orang ramai lebih berhati-hati ketika berurusan secara atas talian dan meneliti kesahihan penjual terlebih dulu sebelum membuat bayaran.

Kata beliau, ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menipu pembeli dengan tawaran harga yang rendah, namun ia bertujuan memperdaya mangsa.

"Jadi saya sarankan orang ramai perlu berhati-hati dengan pembelian menerusi dalam talian, apatah lagi ramai ibu bapa memerlukan gajet dan peralatan berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya.

Aduan boleh dikemukakan di talian 1-800-886-800, emel ke [email protected], Ez ADU KPDNHEP, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di 03-88826088/6245 atau menerusi aplikasi WhatsApp di 019-2794317.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 5:18 PM