ADUAN mengenai penipuan dalam talian adalah kedua tertinggi dicatatkan selepas aduan harga barang sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
ADUAN mengenai penipuan dalam talian adalah kedua tertinggi dicatatkan selepas aduan harga barang sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
Yusmizal Dolah Aling

KUALA LUMPUR: Penipuan transaksi dalam talian oleh pihak tidak bertanggungjawab sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) naik mendadak berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Sejumlah 2,340 aduan terhadap transaksi dalam talian diterima Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP) dari 19 Mac hingga 11 Mei berbanding hanya 897 aduan dalam tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, trend itu menunjukkan peningkatan ketara dan aduan mengenai penipuan online adalah kedua tertinggi dicatatkan selepas aduan harga barang sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Katanya, daripada keseluruhan aduan setakat 31 Mac lalu, 23.6 peratus daripadanya adalah membabitkan transaksi online seperti tidak menerima barangan atau perkhidmatan ditawarkan serta barang yang diterima tidak sama seperti tertera dalam tawaran.

"Kita terima 618 aduan barangan tidak sampai, 105 barang diterima tidak seperti ditawarkan, 100 tuntutan semula pembayaran dan 43 aduan kerana harga yang mahal," katanya.

Rosol berkata, aduan mengenai harga barangan yang dijual di media sosial mencatatkan 448 aduan, farmasi (341), kedai runcit (318), pasar raya (170) dan restoran (141).

"Aduan mengenai transaksi dalam talian melalui Facebook pula paling tinggi iaitu 289 aduan selain turut membabitkan penyedia perkhidmatan dalam talian lain serta khidmat penghantaran," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap orang ramai tampil menyalurkan maklumat yang lengkap bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil ke atas mereka yang terbabit.

Sebarang aduan boleh dikemukakan kepada kementerian melalui aplikasi WhatsApp 019-2794317, portal e-Aduan, Aplikasi Ez ADU atau e-mel kepada [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 6:45 AM