ARVINTRAN  menunggang motosikal selama 12 jam dari Skudai untuk belajar dalam talian secara sempurna di kampus Sintok. FOTO ihsan UUM
ARVINTRAN menunggang motosikal selama 12 jam dari Skudai untuk belajar dalam talian secara sempurna di kampus Sintok. FOTO ihsan UUM
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) sanggup menunggang motosikal selama 12 jam dari rumahnya di Skudai, Johor ke kampus Sintok, dekat sini, kelmarin, bagi memastikan dia dapat mengikuti kuliah dalam talian dengan sempurna.

R Arvintran, 22, berkata, dia mengambil keputusan itu selepas talian Internet di rumahnya kurang memuaskan.

"Saya perlu kembali ke kampus untuk mengikuti kelas dalam talian dengan lebih baik dan sempurna memandangkan ini adalah tahun akhir pengajian.

"Jika boleh saya mahukan kekalkan keputusan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 4.0 seperti semester lalu," katanya pelajar jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan itu.

Ketika berkongsi pengalamannya bermotosikal selama 12 jam, Arvintran berkata, dia terpaksa bertolak pada sebelah malam dari rumahnya di Johor bagi mengelakkan enjin motosikal panas.

Katanya, sepanjang perjalanan itu, dia sempat berehat di beberapa tempat dan terpaksa meneruskan perjalanan walaupun hujan di waktu malam.

"Saya terpaksa pulang ke rumah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun lalu untuk membantu adik perempuan yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Ibu saya yang bekerja di Singapura tidak dapat balik akibat pandemik Covid-19," kata anak sulung daripada tiga beradik ini.

Arvintran berkata, dia sampai ke kampus Sintok pada jam 11 pagi semalam dan menjalani urusan pendaftaran serta ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Inapan Siswa (INASIS) Grantt UUM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 6:18 PM