Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan negeri Selangor menyasarkan kutipan RM1 juta bagi Tabung Selangor Peduli Palestin yang dilancarkan menerusi Misi Selangor Peduli Palestin, hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, untuk menjayakan misi itu, kempen 10 hari digerakkan melalui kolaborasi strategik bersama badan bukan kerajaan (NGO) Global Peace Mission Malaysia.

"Sasaran melalui pengumpulan sumbangan yang akan diselaraskan melalui kerajaan negeri , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), anak syarikat kerajaan negeri, syarikat swasta serta individu yang ingin menyumbang.

Amirudin pada sidang media situasi terkini COVID-19 negeri Selangor di Bangunan SUK Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Amirudin pada sidang media situasi terkini COVID-19 negeri Selangor di Bangunan SUK Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

"Dalam pada itu, pihak Bendahari Selangor juga baru meluluskan satu tabung khas yang dinamakan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang akan mengutip dana daripada individu atau syarikat.

"Kutipan dana itu akan digunakan untuk misi bantuan kemanusiaan di kawasan lain," katanya pada sidang media di Bangunan SUK Selangor, hari ini.

Beliau berkata, penyumbang sumbangan ini akan dipertimbangkan pengecualian cukai mengikut syarat-syarat yang akan ditetapkan, manakala hasil sumbangan Tabung Selangor Peduli Palestin akan disalurkan kepada rakyat Palestin dalam bentuk ambulans atau kenderaan pelbagai guna yang akan dilengkapi dengan ubat-ubatan.

"Ubat-ubatan yang menjadi salah satu keperluan yang sangat mendesak di Palestin terutamanya di Gaza yang menerima serangan daripada Israel.

"Bantuan berkenaan akan diberikan terus kepada rakyat Palestin melalui Global Peace Mission Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 8:47 PM