Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan Selangor menjangkakan pembelian vaksin Covid-19 bakal dimuktamadkan sepenuhnya Jun ini, sebelum ia diagihkan kepada penduduk dan industri di Selangor.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketika ini perancangan pembelian vaksin berjalan lancar selepas pihaknya memutuskan untuk membelinya pada awal tahun ini.

"Insya-Allah dengan perancangan yang ada kita boleh memuktamadkan pembelian dalam tempoh masa yang pendek iaitu kira-kira sebulan lagi, ia akan disempurnakan.

"Bagaimanapun, masih ada perkara yang perlu dipertimbangkan termasuklah berkaitan hal-hal pengagihan dan kerajaan negeri akan memutuskan perkara itu tidak lama lagi," katanya dalam sidang media, hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada sidang media situasi terkini COVID-19 negeri Selangor di Bangunan SUK Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada sidang media situasi terkini COVID-19 negeri Selangor di Bangunan SUK Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Menurut Amirudin, pengagihan vaksin itu akan dilaksanakan mengikut dua kaedah iaitu pemberian percuma untuk rakyat dan peniaga kecil yang kurang berkemampuan, manakala industri digalak membelinya buat pekerja mereka.

"Tujuan kita lakukan perkara ini kerana kita mahu cepat, kita mahu mencapai imuniti kelompok di Selangor dengan segera," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Selangor juga akan bertemu dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk mengelakkan sebarang kekeliruan berkaitan pengagihan vaksin.

"Kita harap tidak akan berlaku unsur pencelahan dan proses berjalan lancar agar pengagihan vaksin ini dapat dilakukan dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 7:07 PM