Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Selangor menghantar bantuan kemanusiaan membabitkan 209 keanggotaan dan 33 jentera bagi Misi Selangor Penyayang : Bantuan Pasca Banjir Baling Kedah, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pasukan dari Selangor itu disertai 189 anggota dari 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dan 20 sukarelawan dari Majlis Sukan Negeri Selangor.

"Selain anggota dari PBT dan sukarelawan, kita turut menghantar lebih 33 jentera dan juga 112 alatan termasuk lori Roll-On-Roll-Off (Roro), pacuan empat roda, jentolak, peralatan pembersihan, water jet juga bot.

"Tumpuan kita ke sana bagi membantu memulihkan lokaliti di mana keutamaan pasukan adalah mengalihkan pokok, membuka jalan terputus dengan kerja fizikal atau pembersihan.

"Saya percaya, mereka (mangsa) juga perlu segera pulang ke rumah. Kalau rumah tidak dibersihkan, kampung tidak pulih, kayu-kayan tidak dialihkan ia mungkin mengambil masa atau tempoh lebih lama," katanya.

DATUK Seri Amirudin Shari (tiga dari kanan) diiringi Mohd Khairuddin (kanan) pada Perlepasan Konvoi Misi Selangor Penyayang Bantuan Pasca Banjir Baling Kedah di Dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
DATUK Seri Amirudin Shari (tiga dari kanan) diiringi Mohd Khairuddin (kanan) pada Perlepasan Konvoi Misi Selangor Penyayang Bantuan Pasca Banjir Baling Kedah di Dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Pelepasan Konvoi Misi Selangor Penyayang : Bantuan Pasca Banjir Baling Kedah di Dataran Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Amirudin berkata, pasukan berkenaan dijangka akan berada di Baling sehingga sehari sebelum Hari Raya Aidiladha bagi membantu kerja-kerja berkenaan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 11:19 AM