Aminuddin Harun (tengah). FOTO NSTP
Aminuddin Harun (tengah). FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Usaha kerajaan negeri membantu rakyat Palestin yang berhadapan tekanan angkara kekejaman tentera Zionis menerusi 'Kempen Negeri Sembilan Peduli Palestin' mendapat sokongan pelbagai pihak apabila dana terkumpul sudah melebihi setengah juta ringgit.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah sumbangan terkumpul sehingga hari adalah sebanyak RM513,811 iaitu kutipan dalam masa hanya empat hari.

Katanya, jumlah kutipan itu sudah mencapai 50 peratus daripada sasaran yang ditetapkan dalam kempen berkenaan bermula Khamis lalu.

"Kerajaan negeri menyasarkan kutipan berjumlah RM1 juta melalui pengumpulan sumbangan yang akan diselaraskan melalui agensi kerajaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), anak syarikat kerajaan negeri, syarikat swasta serta individu yang ingin menyumbang.

"Kita mengalu-alukan rakyat negeri ini dan orang ramai menyumbang melalui kempen Peduli Palestin ini sebagai satu manifestasi sikap keprihatinan dan empati yang tinggi terhadap situasi rakyat Palestin yang berhadapan tekanan angkara kekejaman Zionis.

"Kempen dijayakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Global Peace Mission Malaysia," katanya tadi.

Menurutnya, hasil sumbangan akan disalurkan kepada rakyat negara itu dalam pelbagai bentuk yang diselaraskan dengan agensi berkaitan.

"Bantuan berkenaan akan diberikan terus kepada rakyat Palestin melalui Global Peace Mission Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 7:10 PM