Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerajaan Selangor hari ini menyerahkan sumbangan RM1 juta ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) bagi membantu rakyat negara itu.

Penyerahan sumbangan itu dibuat Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari kepada Setiausaha Bahagian, Bahagian Asia Barat Kementerian Luar Negeri, Datuk Zahairi Baharim.

"Secara rasmi sumbangan ini disalurkan ke tabung itu dan realitinya sudah sampai untuk bantu mangsa kekejaman di Gaza yang semakin meningkat," kata Amirudin selepas sesi penyerahan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirudin turut menggalakkan anak syarikat kerajaan negeri untuk bersama-sama menyalur sumbangan membantu warga Palestin.

"Pada 2021 kerajaan negeri sudah keluarkan dana untuk membeli ambulans dan peralatan kesihatan yang mana ia masih digunakan di sana.

"Kita akan buat tindakan susulan dan mungkin akan membabitkan anak syarikat untuk tambah keperluan terutama perubatan," katanya.

AMIRUDIN (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kemanusiaan rakyat Palestin berjumlah RM1 satu kepada Zahairi (dua dari kiri) FOTO Faiz Anuar
AMIRUDIN (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kemanusiaan rakyat Palestin berjumlah RM1 satu kepada Zahairi (dua dari kiri) FOTO Faiz Anuar

Dalam perkembangan lain, Exco Infrastruktur dan Pertanian Izham Hashim berkata kerajaan Selangor meluluskan peruntukan RM10 juta bagi pelaksanaan kerja membaiki cerun di Bukit Mewah, Kajang yang mana dilihat sudah berlaku pergerakan tanah yang serius.

Katanya, masalah cerun di kawasan berkenaan sudah lama berlarutan dan keadaannya semakin serius sehingga memaksa penghuni di 27 rumah di kawasan itu dikosongkan.

"Kita sudah luluskan bajet segera RM10 juta untuk kerja menstabilkan tanah berikutan berlaku pergerakan (tanah) yang serius sehingga nampak struktur binaan dalam tanah.

"Keadaan cerun kini semakin serius dan sudah nampak pergerakan tanah dan kesemua 27 rumah sudah dikosongkan.

"Pengosongan diuruskan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan penduduk dalam proses menyewa di tempat lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 3:05 PM