Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Johor Bahru: Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian mencederakan isteri sehingga parah seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, individu berkenaan Rosmaini Abd Raof, 38, beralamat di A 102 Perumahan Polis, Taman Derga Jaya, Alor Setar di Kedah dan bekerja sebagai peniaga.

"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan sedang mengesan seorang saksi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Padzli berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi terus talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Salaihudin Azual Razali 013-7290763.

Seorang penjawat awam berusia 43 tahun yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di negeri ini dilaporkan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, selepas dipercayai dicederakan suaminya pada 4 Mei lalu.

Mangsa yang sedang hamil empat minggu parah di kepala dan tengkoraknya terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 11:59 PM