GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini


LELAKI berusia 49 tahun maut dilanggar sebuah kenderaan ketika cuba membantu warisnya yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Putra 1, Johor Bahru, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, Pusat Kawalan Daerah Johor Bahru Selatan menerima maklumat kemalangan maut membabitkan dua kereta jenis Proton Saga dan Proton Waja pada 8.05 pagi.

Katanya, hasil siasatan awal, mangsa berusia 49 tahun pada awalnya bersama rakan berumur 42 tahun iaitu pemandu Proton Waja berada di lokasi kejadian untuk membantu waris mereka yang terbabas sendiri pada jam 6.12 pagi.

"Ketika mangsa berada di belakang Proton Waja itu, sebuah Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun hilang kawalan lalu melanggar mangsa dari arah belakang.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan mangsa iaitu pemandu Proton Waja tiada mengalami sebarang kecederaan.

"Pemandu Proton Saga pula mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi terus talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat Inspektor Goh Tek Huang di talian 011-6532 6003.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 3:18 PM