ANGGOTA APMM Lahad Datu menunjukkan rokok seludup yang dirampas di perairan Lahad Datu. FOTO Ihsan APMM
ANGGOTA APMM Lahad Datu menunjukkan rokok seludup yang dirampas di perairan Lahad Datu. FOTO Ihsan APMM
Juwan Riduan


Lahad Datu: Penyeludup bertindak membuang beberapa bungkusan plastik hitam berisi rokok seludup ke dalam laut selepas kegiatan haram mereka dikesan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), pagi semalam.

Kegiatan itu dikesan anggota APMM Lahad Datu ketika sedang menjalankan rondaan di kedudukan 1.5 batu nautika barat Pulau Kerok, kira-kira 6 pagi.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot peronda APMM yang sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan tanggungjawab mengesan sebuah bot enjin sangkut yang kelihatan bergerak dalam keadaan mencurigakan pada awal pagi.

Katanya, bot berkenaan memecut laju melarikan diri dan membuang beberapa bungkusan plastik berwarna hitam ke dalam laut.

"Apabila menyedari kehadiran bot APMM, bot suspek meluncur laju ke arah kawasan muara sungai Tengah Nipah dan meloloskan diri daripada ditahan dengan menggunakan alur sungai yang cetek dan sempit.

"Hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan menemui beberapa bungkusan plastik hitam berisi rokok seludup yang dibuang suspek sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Abdul Muhaimin berkata, rokok yang dirampas sejumlah 4,400 batang rokok tidak bercukai yang cuba diseludup masuk dari negara jiran.

"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan hampir RM38,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

"Zon Maritim Lahad Datu akan melakukan siasatan terperinci dengan menggunakan sumber yang ada bagi mengesan dan memburu suspek yang bertanggungjawab melakukan aktiviti penyeludupan ini," katanya.

Tambah beliau lagi, kawalan di sempadan perairan negara akan terus dipertingkatkan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan jenayah di dalam Zon Maritim Malaysia.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi terus di talian 089-885727 Pusat Operasi APMM Lahad Datu atau talian MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 12:01 PM