Mohd Khairulanuar (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rokok seludup yang dirampas menerusi Op SEROP di jeti APMM Pulau Kambing. FOTO ZAID SALIM
Mohd Khairulanuar (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rokok seludup yang dirampas menerusi Op SEROP di jeti APMM Pulau Kambing. FOTO ZAID SALIM
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan sebuah bot pancung menyeludup dua juta batang rokok putih bernilai RM1.2 juta menerusi jalan laut, semalam.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, serbuan dilakukan menerusi Operasi Khas Seludup Rokok Putih (Op Serop) di perairan Pulau Perhentian, Besut pada 5.30 pagi.

Menurutnya, bot pancung itu yang didapati menggunakan enjin sangkut kuasa empat seakan-akan menyamai kelajuan bot APMM bertindak melarikan diri ke kawasan cetek sebelum menghilangkan diri dalam keadaan gelap sebaik memasuki muara Setiu.

"Kita menghubungi pasukan kawalan di darat bagi melakukan pemeriksaan sebelum mengesan bot terbabit berada di Sungai Setiu berhampiran Kampung Penarik, Setiu.

"Ketika serbuan, tiga individu dikatakan sedang memunggah 200 kotak mengandungi rokok seludup ke dalam sebuah lori di kawasan berkenaan dan rokok itu dipercayai untuk pasaran negeri ini.

"Bagaiamanapun, ketiga-tiga individu terbabit berjaya meloloskan diri selepas terjun ke sungai," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil serbuan itu, pihaknya merampas sebanyak dua juta batang rokok putih tidak sah termasuk bot dan lori dengan keseluruhan rampasan diinggarkan bernilai RM1.5 juta.

Katanya, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikuti Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

"Kita terus meningkatkan rondaan di perairan Besut dan Setiu terutama di kawasan pulau susulan terdapat banyak bot pancung keluar masuk di kawasan perairan berkenaan pada awal pagi.

"Kita mengejar bot terbabit selepas curiga kerana ia bergerak dalam keadaan gelap dan laju," katanya memaklumkan bot pancung yang keluar masuk di kawasan berkenaan dipercayai turut aktif melakukan penyeludupan rokok tidak sah.

Menurutnya, ini kerana pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan perairan pulau berkenaan menemukan beberapa bungkusan plastik hitam berisi rokok putih yang ditinggalkan suspek sebelum melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 1:14 PM