Noor Hidayah Tanzizi


Bota: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menganggarkan kira-kira 400,000 hektar tanaman kenaf berpotensi untuk diusahakan secara integrasi di ladang sawit seluruh negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, secara kasarnya penanaman sawit di negara ini membabitkan keluasan 6.5 juta hektar dengan anggaran 1.5 juta hektar akan terbabit dalam proses penanaman semula.

Menurutnya, tanaman kenaf secara integrasi boleh dilakukan dengan konsep nisbah sehektar tanaman kenaf, empat hektar tanaman sawit bagi memenuhi keperluan industri itu.

"Dengan konsep sehektar (kenaf) empat hektar sawit, sudah dapat menjangkau satu angka yang besar sehingga 400,000 hektar tanaman kenaf.

"Setiap hektar boleh menghasilkan sekitar 10 tan bekalan kenaf (jadi) bayangkan dengan 400,000 (hektar) sudah ada 4 juta (tan)," katanya selepas melakukan lawatan ke Ladang Rakyat Kenaf Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Lambor Kiri, di sini, hari ini.

Ladang Rakyat Kenaf PPPNP itu membabitkan penanaman kenaf secara integrasi di ladang sawit dengan keseluruhan kawasan seluas 563 hektar (tanaman sawit) dan dianggarkan 140 hektar dapat ditanam kenaf dalam satu-satu masa di mana sehingga kini, lima hektar tanaman kenaf sudah ditanam.

Mohd Khairuddin berkata, semua pihak digalakkan untuk memajukan sektor tanaman kenaf secara integrasi bagi memenuhi keperluan bahan untuk industri hiliran.

"Pasaran sudah sedia dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) akan membeli daripada pekebun kecil kerana kita memerlukan bekalan yang tidak mencukupi.

"Sedangkan pasarannya (industri hiliran) besar sama ada membabitkan tilam, bahan makanan binatang dan Kenaf Building System (KBS) untuk pembinaan," katanya.

BOTA 22 APRIL 2021. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (tiga kanan) melihat tanaman kenaf di Ladang Rakyat Kenaf Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Lambor Kiri, Bota. STR/NOOR HIDAYAH TANZIZI
BOTA 22 APRIL 2021. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (tiga kanan) melihat tanaman kenaf di Ladang Rakyat Kenaf Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Lambor Kiri, Bota. STR/NOOR HIDAYAH TANZIZI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 4:32 PM