MOHD Khairuddin (tiga kiri) melihat produk yang dihasilkan daripada kenaf. Foto Nurul Fatihah Sulaini.
MOHD Khairuddin (tiga kiri) melihat produk yang dihasilkan daripada kenaf. Foto Nurul Fatihah Sulaini.
Nurul Fatihah Sulaini


KIRA-kira 1,000 hektar tanah terbiar di Terengganu akan diusahakan projek tanaman kenaf akhir tahun ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sasaran itu mampu dicapai kerana terdapat kira-kira 8,000 tanah terbiar di negeri ini, dan ia boleh diusahakan golongan muda terutama lepasan universiti yang belum bekerja.

"Mereka tidak perlu bimbang kerana geran dan bantuan insentif disediakan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) untuk memulakan projek itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Kenaf Peringkat Negeri Terengganu di Kampung Guntung Dalam, di Permaisuri, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim.

Beliau berkata, kewujudan kilang memproses bahan kenaf di Setiu hasil kerjasama kerajaan dan swasta menjadi perintis untuk mengembangkan lagi pasaran produk dari kenaf.

Terdahulu, pada majlis sama, seramai 249 penanam kenaf menerima bantuan input pertanian sebanyak RM500 satu hektar membabitkan keluasan 391.6 hektar dengan jumlah keseluruhan RM RM195,800.

"Bantuan ini satu daripada inisiatif kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bagi meringankan beban penanam kenaf yang terjejas disebabkan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19," katanya.

Katanya, bantuan berkenaan sudah diagihkan di Kedah, Kelantan, Terengganu dan bakal diagihkan ke Pahang dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 8:07 PM