DATUK Zuraida Kamaruddin merasmikan Ruang Pameran IBS Tasblock di Pusat Pemprosesan dan Pengeluaran Produk Kenaf di Saujana, Setiu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
DATUK Zuraida Kamaruddin merasmikan Ruang Pameran IBS Tasblock di Pusat Pemprosesan dan Pengeluaran Produk Kenaf di Saujana, Setiu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Setiu: Orang ramai yang mempunyai tanah disarankan mengambil peluang menyertai program tanaman kenaf yang disediakan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, mereka cuma perlu sediakan tanah sekurang-kurangnya seluas satu hektar dan maksimum lima hektar untuk menanam kenaf.

"LKTN akan memberi suntikan modal dalam bentuk baja, biji benih dan keperluan lain tanaman bernilai RM2,385 untuk satu hektar.

"Malah LKTN juga bertanggungjawab membeli semula hasil tanaman kenaf yang diusahakan itu dengan nilaian RM4,000 bagi satu hektar," katanya ketika ditemui pada Lawatan Kerja di Pusat Pemprosesan dan Pengeluaran Produk Kenaf Saujana di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah LKTN Idris Mohd Salleh dan Pengurus Wilayah Timur LKTN Mohd Norsyam Yahaya.

Zuraida berkata, pihaknya mensasarkan 10,000 hektar tanaman kenaf diusahakan di negara ini dalam tempoh terdekat.

"Sekarang sebanyak 7,000 hektar tanah yang diusahakan dengan tanaman kenaf dan ia masih belum mencukupi untuk menampung keperluan dan permintaan semasa.

"Pelbagai produk dihasilkan daripada kenaf termasuk untuk penggunaan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) dan pengeluaran produk 'non-woven fiber' berasaskan kenaf.

"Semestinya permintaan kenaf akan meningkat dari semasa ke semasa sekali gus orang ramai perlu mengambil peluang ini untuk menanam itu bermula sekarang," katanya.

Tambahnya, LKTN membangunkan kilang perintis dalam pemprosesan 'non-woven thermobonding fiber' untuk meningkatkan nilai tambah hasil fiber kepada produk separa siap non-woven.

"Bangunan kilang berkeluasan 2,376 meter persegi dibina dengan kos RM25 juta itu akan meningkatkan rantaian nilai dan mewujudkan permintaan bagi produk berasaskan kenaf," katanya.

Menurutnya, kilang terletak di Kampung Saujana Setiu itu mampu mengeluarkan 2,400 metrik tan produk non-woven thermobonding kenaf setahun dengan nilai RM16 juta hingga RM18 juta untuk pasaran eksport dan domestik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 2:41 PM