MOHD Khairuddin   (kiri) menunjukkan kulit pokok kenaf pada Majlis Pelancaran Ladang Rakyat Kenaf   PPPNP di Ladang Gugusan Lambor.
MOHD Khairuddin (kiri) menunjukkan kulit pokok kenaf pada Majlis Pelancaran Ladang Rakyat Kenaf PPPNP di Ladang Gugusan Lambor.

Pasir Salak: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersedia bekerjasama dengan agensi pertanian negeri di seluruh negara bagi memperluaskan projek Ladang Rakyat Kenaf secara integrasi.

  Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sebagai contoh  agensinya, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Perak (PPPNP) untuk melaksanakan projek itu. 

  "Kami harap program seumpama ini digerakkan ke negeri lain kerana apabila dibuat secara usaha sama dengan agensi negeri, pengurusannya lebih terancang dan teratur.

  "Program ini bermusim dengan semusim hanya empat bulan. Ia boleh dipelbagaikan lagi projek seumpamanya di kawasan lain," katanya selepas merasmikan pelancaran  Ladang Rakyat Kenaf PPPNP di Ladang Gugusan Lambor di sini, baru-baru ini.

  Mohd Khairuddin berkata, projek perintis itu membabitkan kawasan ladang sawit milik PPPNP seluas 563 hektar iaitu 25 peratus atau 140 hektar akan ditanam kenaf di lorong pelepah sawit belum matang.

  "Projek integrasi pertama itu dilaksanakan dalam tempoh dua tahun membabitkan 70 pekebun kecil," katanya. 

  Menurut Mohd Khairuddin, tanaman kenaf mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga hingga empat bulan  dan dijangka menyumbang tambahan pendapatan kepada peserta projek sehingga RM4,000 semusim.

  Mohd Khairuddin berkata, menerusi projek perintis itu, LKTN bertanggungjawab merancang, mengendalikan, menyelaras  termasuk memantau aktiviti penyelidikan serta pembangunan berkaitan penanaman, pengekstrakan, pemprosesan dan pemasaran serta keluaran Kenaf.

  LKTN juga memperuntukkan RM2,385 sehektar sebagai insentif bagi Program Pembangunan Tanaman Baru Kenaf kepada peserta berminat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 7:01 AM