NANCY (kanan)  melawat  ruang pameran ketika program Hello Komoditi Sungai Besar.
NANCY (kanan) melawat ruang pameran ketika program Hello Komoditi Sungai Besar.

Sungai Besar: Kerajaan memperuntukkan RM1.8 juta bagi melaksanakan sembilan projek jalan ladang dalam kawasan Parlimen Sungai Besar tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Beliau yang juga Pemangku Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkata, dua projek jalan ladang disiapkan sepenuhnya di kawasan berkenaan membabitkan perbelanjaan sebanyak RM375,909.

“Sudah tentunya kemudahan disediakan dapat memberi manfaat kepada pekebun kecil komoditi meningkatkan aktiviti ekonomi dan menjana pendapatan seterusnya meningkatkan taraf hidup masing-masing,” katanya semasa merasmikan program Hello Komoditi Sungai Besar anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, di sini, semalam.

Nancy berkata, 23,863 pekebun kecil mengusahakan tanaman komoditi yang meliputi kawasan seluas 48,685 hektar terutama penanaman sawit dan getah di Selangor.

Katanya, di Parlimen Sungai Besar terdapat 3,127 pekebun kecil sawit persendirian yang mengusahakan ladang seluas 5,861 hektar.

Beliau berkata, hasrat kerajaan memastikan 600,000 pekebun kecil komoditi di seluruh negara mencapai pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM5,270 sebulan menjelang 2020.

“Bagi mencapai sasaran itu, pelbagai bantuan dan insentif disalurkan bagi membantu pekebun kecil meningkatkan produktiviti serta pendapatan mereka meliputi pelbagai jenis komoditi.

“Ini termasuk bantuan di bawah Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK) yang memanfaatkan 131 pekebun kecil dalam daerah Sabak Bernam,” katanya.

Terdahulu suasana sayu dan hiba meliputi majlis perasmian apabila video khas ditayangkan bagi memperingati bekas Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon yang juga bekas Ahli Parlimen kawasan itu yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lalu.

Turut terkorban dalam insiden itu Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Sundaran Annamalai, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, suami Noriah, Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 11:04 AM