Hamid menyusun ikan keli di atas dapur salai di warung Kamarudin di pekan Lubok Cina, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hamid menyusun ikan keli di atas dapur salai di warung Kamarudin di pekan Lubok Cina, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Sebanyak 20 kilogram (kg) ikan keli salai dihasilkan peniaga, Kamarudin Ahmad, dan isteri, Junidah Abdul Rahman, habis dibeli pelanggan di Bazar Ramadan Pekan Lubok Cina, pada setiap petang.

Selain kunyit dan garam, suami isteri itu turut menggunakan 'perencah rahsia' yang menjadikannya sebagai bahan makanan kegemaran ramai.

Kamarudin, 53, berkata, pada setiap petang, seorang penternak ikan keli dari Kampung Sungai Buloh, Alor Gajah menghantar 20kg ikan keli yang sudah siap disiang ke warungnya di pekan Lubok Cina, di sini.

"Pada 3 petang, saya dengan dibantu abang ipar, Hamid Abdul Rahman dan rakan, Zulkifli Mat Dali menyalai ikan dengan menggunakan bara dihasilkan melalui pembakaran dahan pelbagai jenis pokok, terutama pokok durian.

"Saya tidak menyalai ikan keli di bazar Ramadan kerana sukar untuk mengangkut dapur salai dari warung ke bazar itu.

"Saya mula berniaga di bazar pada 4 petang dan lazimnya, ikan keli salai dijual pada harga RM4.50 seekor mula dipesan pelanggan sebelum 120 ekor ikan itu habis dijual dalam tempoh dua jam," katanya.

Bagi memenuhi permintaan, kadang kala dia dan isteri turut menyediakan itik dan daging salai pada hujung minggu kerana jumlah pelanggan meningkat berbanding hari biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 6:14 PM