Mek Jah dibantu anak bongsunya, Mohd Aiman Asraf Husin menunjukkan etak yang siap disalai   untuk dijual ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Keli 1.
Mek Jah dibantu anak bongsunya, Mohd Aiman Asraf Husin menunjukkan etak yang siap disalai untuk dijual ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Keli 1.
Siti Rohana Idris


Tumpat: Sejurus beroperasi selepas tiga hari bercuti sempena Aidilfitri, peniaga etak salai di Kampung Kok Keli 1 di sini, tidak menang tangan apabila etak yang dijual habis dalam masa dua jam saja.

Penjual etak itu, Mek Jah Sulaiman, 64, berkata, etak salai yang dijualnya habis setiap hari sejurus dibuka pada hari raya kedua, Sabtu lalu.

“Kami tidak beroperasi dua hari sebelum Aidilfitri dan hanya membuka gerai Sabtu lalu.

“Apabila dibuka, ramai pelanggan datang dan setiap hari, kami hanya sempat menjual etak ini selama dua jam saja.

“Ramai kecewa kerana gagal mendapatkan etak kami dan memilih datang ke gerai keesokan hari,” katanya yang berniaga etak itu dengan anaknya, Mohd Saiful Azmi Husin, 32.

Katanya, dia membeli lima guni mengandungi 20 kilogram etak mentah daripada pembekal untuk diproses (salai) setiap hari.

“Sebelum disalai, etak perlu diperap dengan ramuan campuran antaranya bawang putih, serai, halia, halba dan garam secukup rasa selama dua jam.

“Proses menyalai pula memakan masa satu jam setengah dengan menggunakan sabut kelapa sehingga kering sebelum diangkat untuk dijual.

“Itulah yang membuatkan etak saya lain dan rasanya juga enak,” katanya.

Mek Jah berkata, etaknya laris dibeli pelanggan yang majoritinya menetap di luar Kelantan ketika pulang beraya di kampung halaman.

Katanya, etak itu dijual RM2 hingga RM5.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 11:52 AM