Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Tuan, cili mahal sikit". Itu aduan spontan seorang pengunjung di Pasar Keramat hari ini ketika sepasukan pegawai dan anggota dan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) melakukan pemeriksaan hari ini.

Aduan spontan itu dibuat kepada Pengarah KPDNHEP WPKL Ariffin Samsudin yang sedang meninjau di salah sebuah gerai di pasar berkenaan.

Bagaimanapun, ketika diminta memberikan maklumat lebih lengkap, pengadu wanita berkenaan tidak mahu memberikan kerjasama.

Ariffin berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan hasil maklumat diterima daripada orang ramai dan netizen mengenai kenaikan harga barang yang dikatakan melampau.

Bagaimanapun, pemeriksaan di situ mendapati, tiada kenaikan mendadak oleh peniaga malah pengguna diberi beberapa pilihan harga.

"Seperti kita tengok tadi, harga ayam antara RM8.50 hingga RM9.50 sekilogram, tidak ada sampai RM12 seperti tular di media sosial.

ARIFFIN (tengah) menyertai Pemeriksaan Prihatin bagi memantau harga barangan susulan laporan peningkatan harga ketika bulan Ramadan. FOTO Asyraf Hamzah
ARIFFIN (tengah) menyertai Pemeriksaan Prihatin bagi memantau harga barangan susulan laporan peningkatan harga ketika bulan Ramadan. FOTO Asyraf Hamzah

"Keseluruhannya saya berpuas hati dengan pemeriksaan ini kerana peniaga mematuhi arahan seperti meletakkan tanda harga dan tidak menaikkan harga sesuka hati.

"Aduan spontan seperti tadi itu pun kita terima. Tetapi saya minta supaya masyarakat tampil memberikan maklumat penuh bagi membolehkan penguatkuasa kita mengambil tindakan," katanya.

Ariffin berkata, hasil pemeriksaan ke atas 53 premis, didapati majoriti peniaga di pasar ini mematuhi peraturan serta perundangan yang berkuatkuasa.

Manakala lapan peniaga diberi amaran atas kesalahan kecil.

Menurutnya, dibawah Ops Pantau 2021 sebanyak 472 premis sudah diperiksa oleh KPDNHEP serta 88 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dikeluarkan kepada peniaga mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

"Notis berkenaan itu dikeluarkan kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perubahan harga.

"Peniaga yang menerima notis ini diberi tempoh masa dua hari bagi memberi maklum balas dan menjelaskan mengapa barang jualan mereka mengalami kenaikan harga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 5:46 PM