HARGA ayam pada pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan Tahun Baru Cina di Giant  Hypermarket Setapak. FOTO Nur Raihana Alia
HARGA ayam pada pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan Tahun Baru Cina di Giant Hypermarket Setapak. FOTO Nur Raihana Alia
Minda Ranggong

Kuala Lumpur: Harga ayam segar di Kuala Lumpur masih lagi stabil walaupun dilaporkan meningkat di beberapa negeri termasuk Johor.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata, harga ayam di sekitar ibu kota masih memuaskan.

"Setakat ini, tiada aduan yang diterima berkaitan kenaikan harga ayam.

"Walaupun kita tidak dapat memastikan harga ini berubah atau tidak, namun tiada kemungkinan dan tanda-tanda peningkatan harga ayam berlaku di Kuala Lumpur setakat ini," katanya ketika melakukan 'walkabout' di Giant Hypermarket, Setapak di sini, hari ini.

Ariffin berkata, KPDN sentiasa melakukan pemantauan untuk mengelakkan kenaikan harga barang berlaku.

"Kami sentiasa dari semasa ke semasa melakukan pemantauan dan meneliti harga barangan asas untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup.

"Kami melakukan pemantauan setiap hari menggunakan penguat kuasa dan pegawai pemantauan harga.

"Hari ini, sebanyak 100 pemantauan dilakukan di beberapa buah pasar raya dan gerai.

"Namun begitu, saya berharap agar orang awam juga memberi maklumat dan membuat aduan kepada KPDN jika mendapati sebarang kenaikan harga terhadap barang asas," katanya.

Menurutnya, KPDN juga menasihatkan semua peniaga agar bertimbang rasa dan menjual pada harga yang berpatutan.

Katanya, sekiranya harga kos yang diperoleh menurun, peniaga amat digalakkan agar menjual pada harga yang lebih rendah daripada kebiasaan.

"Melalui pemantauan di sini, hari ini, saya mendapati ada lapan barangan dijual dengan harga yang lebih rendah berbanding harga maksimum yang ditetapkan.

"Menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina, saya minta agar semua pasar raya, penjual, dan sebagainya untuk patuh pada skim harga maksimum musim perayaan seperti yang ditetapkan." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 3:16 PM