Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah) mengadakan lawatan meninjau harga barangan basah di pasar awam Larkin, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah) mengadakan lawatan meninjau harga barangan basah di pasar awam Larkin, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan 26 notis susulan kenaikan harga ayam dan daging, bagi tempoh lima hari sejak awal Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Dr Chong Fat Full berkata, notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan membabitkan 20 peniaga runcit dan enam pemborong ayam di pasar awam sekitar bandar raya ini.

"Ia bagi siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

"Berdasarkan rekod, dari awal tahun sehingga semalam, sebanyak 4,165 premis diperiksa meliputi 3,542 peruncit, 518 pemborong dan 105 pengilang.

"Susulan daripada pemeriksaan ini, sebanyak 124 notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011," katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama KPDNHEP mengatasi isu kenaikan harga ayam dan daging segar.

"Mengadakan pertemuan dengan pembekal ayam dan daging supaya dapat mendengar pandangan mereka, selain dari segi pengiraan boleh dibuat pegawai di pihak kementerian.

"Kita mengesyorkan satu harga syiling yang boleh dilaksanakan. Perlu juga mengadakan perbincangan dengan KPDNHEP," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke pasar basah Larkin, di sini, hari ini.

Difahamkan, ketika ini, ayam dijual pada harga RM9.20 sekilogram (kg), daging lembu tempatan RM40/kg, daging import RM25/kg, manakala kambing pula RM50/kg.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 1:47 PM