FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


HARGA ayam yang didakwa meningkat mendadak sejak minggu lalu dilihat berpunca daripada peningkatan permintaan selepas aktiviti perniagaan dibuka semula selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, banyak ayam mentah tidak laku.

"Sebelum ini permintaan tiada kerana restoran dan hotel tidak boleh beroperasi, maka pembekal terpaksa menjual ayam pada harga sekitar RM4 ke RM5 sekilogram yang mana mereka menjual pada harga rugi.

"Apabila PKPB, restoran, kedai dan hotel sudah boleh dibuka dan aktiviti perniagaan berlaku menyebabkan permintaan ayam sudah mula meningkat.

"Jadi, harga ayam kembali pada harga normal dan semua peringkat rantaian bekalan mula mendapat keuntungan bermula dari penternak, pembekal, pemborong dan peruncit," katanya.

Sejak beberapa hari lalu, orang ramai mula terkesan apabila harga ayam mentah naik mendadak dan rata-rata peniaga mendakwa punca kenaikan harga yang berlaku adalah disebabkan berlakunya kenaikan kos oleh pembekal dan peladang.

Iskandar berkata, pengguna diminta mengehadkan pembelian bagi mengurangkan tekanan permintaan sehingga kerajaan mengumumkan harga ayam dan beberapa barang lain dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang akan diumumkan oleh KPDNHEP, Selasa ini, dan membuat laporan jika mendapati harga ayam terlalu tinggi di kawasan mereka.

Beliau berkata, memang ada beberapa tempat di mana peniaga menjual ayam pada harga RM8 hingga RM9 sekilogram.

"Namun jika harga ayam masih di bawah RM7.50, harga itu adalah normal dan kalau lebih RM8 barulah wajar untuk memulakan siasatan sebab-sebab kenaikan untuk tindakan lanjut.

"Memang KPDNHEP ada menerima aduan berhubung kenaikan harga ayam yang semakin meningkat pada 14 Mei lalu dan KPDNHEP negeri sudah mula membuat pemantauan dan pemeriksaan ekoran kenaikan harga ayam.

"Bagaimanapun pemeriksaan sedang dilaksanakan dan diteruskan di peringkat rantaian pembekalan untuk mendapatkan maklumat harga dan kos serta menyiasat di bawah perundangan pencatutan," katanya.

Secara keseluruhannya, data pemeriksaan premis yang sudah dilaksanakan sehingga 15 Mei lalu membabitkan sebanyak 184 premis yang terdiri daripada dua peladang, 11 pembekal dan 171 peruncit bagi ayam hidup, ayam super dan ayam standard.

Sebanyak 116 notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 diserahkan kepada peniaga yang terbabit di peringkat rantaian pembekalan berkenaan untuk mendapatkan maklumat harga, kos dan margin serta pembekal penjualan ayam bagi tempoh semasa dari 6 Mei lalu hingga tarikh terkini pemeriksaan dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 8:24 PM