Omar Ahmad


Kota Tinggi: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memusnahkan 1,435 jerat hidupan liar dengan nilai sitaan RM36.45 juta yang dikesan dalam 39 siri rondaan sepanjang Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilancarkan sejak 2019.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, dalam tempoh sama, 187 kertas siasatan dibuka membabitkan 257 pesalah dalam kalangan warga tempatan dan 99 pesalah warga asing.

"Tahun ini, dua siri operasi dijalankan dan kami membuka 11 lagi kertas siasatan atas pelbagai kesalahan dengan jumlah rampasan RM54,000, selain 19 jerat hidupan liar dimusnahkan di lapangan.

"Kami juga ada mengesan 14 khemah menempatkan warga asing, empat penebangan pokok dan ada 158 kesan pemburuan haram direkodkan membabitkan 19 pesalah termasuk termasuk seorang warga Indonesia," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat OBK ke-10 di sini, hari ini.

Anggota penguatkuasa Perhilitan menunjukkan jerat haiwan liar yang dirampas dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK). FOTO OMAR AHMAD
Anggota penguatkuasa Perhilitan menunjukkan jerat haiwan liar yang dirampas dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK). FOTO OMAR AHMAD

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Abdullah Jaafar.

Dalam pada itu, Abdul Kadir memaklumkan Perhilitan akan menguatkuasakan Akta Pemulihan Hidupan Liar Pindaan 2021 bermula hujung Jun ini.

Katanya, akta itu sudah diluluskan Parlimen pada 21 Disember lalu dan diwartakan 10 Februari tahun ini.

"Perkara utama ditambah baik dalam akta ini ialah kadar denda maksimum RM500,000 ditingkatkan kepada RM1 juta, manakala penjara maksimum 10 tahun dinaikkan kepada 15 tahun.

"Ia sebagai tindakan pencegahan jenayah terhadap hidupan liar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 3:40 PM