Datuk Abdul Kadir Abu Hashim mengadakan sidang media mengenai Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di DoubleTree Resort by Hilton, Batu Ferringhi, Pulau Pinang di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Datuk Abdul Kadir Abu Hashim mengadakan sidang media mengenai Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di DoubleTree Resort by Hilton, Batu Ferringhi, Pulau Pinang di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Malaysia dijadikan lokasi transit bagi aktiviti penyeludupan hidupan liar khususnya tenggiling sebelum haiwan itu dipasarkan ke beberapa negara lain.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya percaya aktiviti penyeludupan itu membabitkan sindiket berlainan.

Beliau berkata, pihaknya mendapati burung murai batu banyak diseludup ke Indonesia manakala tenggiling diseludup dari Indonesia ke Malaysia sebelum dihantar ke negara lain seperti China dan Vietnam.

"Kami percaya ketua sindiket (penyeludupan hidupan liar) di Malaysia tidak ramai dan kami bersama beberapa agensi akan berusaha mengesan dan menangkap mereka.

"Malah, sepanjang tahun lalu, kami merampas dua tan tenggiling.

"Antara hidupan liar lain yang diseludup ialah burung murai batu, kijang dan gading gajah," katanya ketika sidang media di Batu Feringghi, di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Kadir menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

Mengulas lanjut Abdul Kadir berkata, seramai 127 pemburu haram ditahan menerusi 11 siri OBK dijalankan pada tahun ini di seluruh negara manakala 69 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan jenayah dibuka.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil daripada operasi rondaan di lapangan membabitkan beberapa agensi termasuk Perhilitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JKDM.

"Berbanding dua tahun lalu iaitu sebanyak RM4.25 juta, tahun ini mencatatkan jumlah sitaan paling besar iaitu RM31.86 juta.

"Selain itu sebanyak 293 jerat hidupan liar turut dimusnahkan serta 2,352 lain-lain kesan pemburuan dan pencerobohan berjaya direkodkan.

"Seramai 127 pesalah ditahan membabitkan 117 warganegara Malaysia dan 10 warga asing," katanya lagi.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716], Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313], Akta Senjata 1960 [Akta 206] dan Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 [Akta 37].

Selain itu, Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor 1989, Akta

Pencegahan Pengubahan Wang haram 2001 [Akta 613] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 5:37 PM