Reezal Merican berucap semasa hadir pada Sambutan Hari Guru 2021 Peringkat Negeri Pulau Pinang di UiTM Pulau Pinang. FOTO DANIAL SAAD
Reezal Merican berucap semasa hadir pada Sambutan Hari Guru 2021 Peringkat Negeri Pulau Pinang di UiTM Pulau Pinang. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Permatang Pauh: Bidang sukan berkepentingan akan diberi keutamaan menerima vaksinasi Covid-19 bagi fasa seterusnya, selepas suntikan vaksin Covid-19 diberikan kepada atlet dan pegawai yang menyertai Sukan Olimpik Tokyo dan kejohanan utama lain.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, suntikan vaksin kumpulan pertama membabitkan 264 atlet dan pegawai, termasuk beliau sendiri akan berlangsung Selasa depan.

Katanya, atlet dan pegawai yang tersenarai dalam kumpulan pertama itu membabitkan mereka yang menyertai kejohanan utama, khususnya Sukan Olimpik Tokyo pada pertengahan Julai nanti.

"Hari suntikan (vaksinasi Covid-19) itu juga bersempena 100 hari countdown (kiraan masa) berlangsungnya Sukan Olimpik.

"Saya juga antara penerima vaksin pada hari berkenaan, selain atlet dan pegawai yang terpilih untuk fasa pertama ini.

"Bagi fasa seterusnya, kita akan melihat bidang sukan yang mempunyai kepentingan dan akan menyertai kejohanan antarabangsa yang boleh diberikan keutamaan divaksinkan awal khususnya pemain bola sepak atau dari sukan lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika diminta mengulas mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan membabitkan atlet negara selepas Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pulau Pinang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan sebelum itu sudah menghantar 4,000 senarai nama atlet dan pegawai untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin dalam bagi pertama.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini selepas setahun ditangguhkan berikutan penularan Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Reezal Merican berkata, pihaknya berharap proses Kanvas Visi Sukan Negara (VSN) 2030 yang dilancarkan kelmarin dapat memperoleh hasil yang komprehensif dan menyeluruh dari seluruh rakyat.

"Sebelum pelancaran VSN2030 yang dijangka akan diadakan pada Oktober atau akhir tahun ini kita mulakan dulu dengan Kanvas VSN2030 iaitu sesi libat urus secara menyeluruh yang hasilnya akan dirangkumkan secara komprehensif untuk merencanakan strategi sukan negara untuk tempoh 10 tahun ke hadapan.

"Kita berharap proses Kanvas VSN2030 yang mengambil masa selama empat ke lima bulan ini dapat memperoleh hasilnya sebelum pelancaran rasmi diadakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 3:42 PM