REEZAL Merican tidak dapat memberi jaminan skuad kebangsaan akan dapat dua suntikan vaksin sebelum ke UAE. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
REEZAL Merican tidak dapat memberi jaminan skuad kebangsaan akan dapat dua suntikan vaksin sebelum ke UAE. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tiada sebarang jaminan dapat diberikan kepada skuad bola sepak kebangsaan berhubung penerimaan dua dos suntikan vaksin Covid-19 sebelum mereka berlepas untuk menyertai Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal Jun ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas menerima suntikan dos Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras hari ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe dijangka berlepas ke Bahrain 19 Mei ini bagi mengharungi dua aksi persahabatan sebelum berangkat ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk saingan kelayakan.

"Saya hanya Menteri Belia dan Sukan saja. Tugas saya hanyalah mengemukakan perkara ini. Sekiranya saya beri jaminan, apa pula kata Khairy (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi)

"Jadi untuk skuad Harimau Malaya, saya tak dapat beri jaminan apa-apa kepada mereka sama ada mereka akan dapat vaksin sebelum berlepas ke Bahrain," katanya.

Terdahulu, pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menyuarakan hasrat agar barisan pemain negara akan dapat divaksin sebelum mereka mengharungi perlawanan kelayakan itu.

Skuad kebangsaan dijadualkan bertemu UAE dan akan menentang pendahulu, Vietnam akan berdepan Thailand pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Dalam perkembangan yang sama, Reezal gembira Program Imunisasi Covid-19 membabitkan 264 atlet, jurulatih serta pegawai yang terbabit dengan temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 berjalan dengan lancar.

Katanya, mereka akan menerima dos kedua jenis Pfizer pada 4 Mei ini.

Turut hadir pada program tersebut Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 8:53 PM