REEZAL Merican (dua dari kanan) akan berusaha untuk memastikan kedua-dua atlet negara itu menerima vaksin berkenaan di Melbourne. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
REEZAL Merican (dua dari kanan) akan berusaha untuk memastikan kedua-dua atlet negara itu menerima vaksin berkenaan di Melbourne. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan mempertaruhkan nasib atlet negara dan kini sedang merencanakan perancangan terbaik buat prospek emas negara di Sukan Olimpik, Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom berhubung penerimaan vaksin.

Azizul dan Shah Firdaus kini menjalani latihan di Melbourne antara 264 atlet yang dijangka akan menerima suntikan vaksin Covid-19 April ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagaimanapun akan berusaha untuk memastikan kedua-dua atlet negara itu menerima vaksin berkenaan di Melbourne.

"Saya akan pastikan bahawa 264 atlet yang tersenarai akan menerima vaksin mereka April ini dan dos kedua sebelum bulan Mei.

"Untuk Azizul kita akan uruskan dia menerima vaksin di sana kerana kebanyakan negara mengamalkan vaksin untuk semua. Jika dia (Azizul) dapat vaksin di sana dia tak perlu ambil di sini tapi seandainya dalam tempoh tertentu masih belum dapat, saya akan pastikan dia dapat di sini.

"Namun semuanya bergantung waktu paling awal yang boleh diterima di sana," katanya yang menjelaskan bahawa beliau masih belum menerima sebarang makluman berhubung penerimaan vaksin Azizul dan Shah di sana.

Februari lalu Reezal memaklumkan seramai 264 atlet dan pegawai yang akan mewakili negara ke kejohanan antarabangsa dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Tokyo dijangka menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula April ini.

Ia adalah kumpulan pertama daripada keseluruhan 4,000 atlet dan pegawai dalam senarai KBS untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 (PICK) Kebangsaan fasa pertama.

Dalam perkembangan yang sama Reezal yang ditemui ketika Majlis Pelancaran Program 'Beyond Coaching' Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) berkata, beliau akan menghubungi Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung tarikh penerima vaksin berkenaan.

Sementara itu Program Beyond Coaching AKK diwujudkan bagi memperkenalkan beberapa inisiatif baharu AKK dan Institut Sukan Negara dalam menjadi hub Pendidikan Kejurulatihan Sukan Kebangsaan yang lebih tersusun dan bersistematik.

Reezal turut menyambut baik Pengenalan Program Women Can Coach oleh AKK, ISN di mana ia adalah satu program khas bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam bidang kejurulatihan sekali gus menyahut kempen KBS dalam memperkasakan peranan wanita dalam ekosistem sukan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 3:27 PM