GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Sebanyak 22 kluster membabitkan indeks kes di Kedah dilaporkan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini termasuk enam kluster baharu dalam tempoh dua minggu terakhir.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang, berkata, sebanyak 8,601 kes positif Covid-19 dicatatkan di negeri ini dengan 34 kematian.

Katanya, daripada jumlah itu, tujuh membabitkan kluster industri yang berpunca daripada penularan jangkitan di tempat penginapan pekerja yang sesak.

"Antaranya adalah Kluster Selambau, Perdana, Jalan PKNK 3/3, Ria Jaya, PKNK 1/6, Perusahaan LPK dan Tapak Bina Padang Meha.

"Enam kluster pula membabitkan tempat kerja seperti pekerja pasar raya, institusi pendidikan, pusat rawatan kesihatan dan pusat tahanan antaranya Kluster Taman Batik, Jalan Day, Dedap, Orion, Amanjaya dan Delima Baiduri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, Dr Mohd Fikri berkata, sembilan kluster pula tercetus akibat aktiviti sosial dan perhimpunan keluarga antaranya Kluster Gunung Raya, Keladi Saga, Kupang, Jalan Sekerat, Bunga Tanjung Bendahara, Layar, Emas Bemban, Bukit Sera dan Taman Peruda.

Katanya, sebanyak sembilan daerah di negeri ini terbabit dalam kluster yang dilaporkan iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Kulim, Baling, Yan, Sik, Pendang, Langkawi dan Kubang Pasu.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga semalam, seramai 452,808 individu atau 29.38 peratus daripada lebih 1.5 juta yang layak menerima vaksin Covid-19 di Kedah sudah mendaftar sebagai penerima.

Namun, beliau berkata, jumlah itu masih rendah berbanding bilangan yang patut disuntik.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru semua penduduk di berusia 18 tahun ke atas untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 terutamanya golongan berisiko tinggi seperti warga emas, pesakit kronik dan golongan orang kurang upaya (OKU) yang berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan berakhir dengan kematian apabila dijangkiti Covid-19.

"Kumpulan ini dijangka mula disuntik dalam fasa kedua bermula 19 April di negeri ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 6:35 PM