DR NOOR HISHAM ABDULLAH
DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Satu kluster membabitkan majlis pengebumian dilaporkan hari ini, membabitkan beberapa daerah di Melaka, Johor dan Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kluster Kampung Gedang itu membabitkan daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah di Melaka; Petaling di Selangor serta Johor Bahru di Johor.

"Kes indeks dalam kluster ini seorang wanita warganegara Malaysia berusia 61 tahun dari Kampung Gedang, Alor Gajah yang dilaporkan positif Covid-19 pada 25 Februari 2021 hasil saringan individu bergejala.

"Kes mula bergejala pada 16 Februari 2021 dan kluster ini membabitkan sebuah majlis pengebumian yang berlangsung pada 14 Februari lalu.

"Nama kluster merujuk kepada lokaliti penularan kes yang dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Gedang, Alor Gajah manakala 35 daripada 86 individu disaring, dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Turut dikesan satu kluster membabitkan pusat jagaan warga emas, Kluster Jalan Anak Gasing, di daerah Petaling Selangor, membabitkan kes indeks seorang wanita berusia 88 tahun yang mula bergejala pada 19 Februari lalu dan dilaporkan positif pada 27 Februari hasil saringan individu bergejala.

"Sehingga hari ini, sejumlah 32 individu sudah disaring, dengan 20 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sembilan kluster lagi yang dilaporkan hari ini adalah berkaitan tempat kerja iaitu, Jalan Perubatan, Tapak Bina Jalan MP, Balakong Satu dan Jalan Utarid di Selangor; Jalan DPB Lima di Johor; Jalan Bachok di Kelantan; Jalan PKNK 1/6 di Kedah dan Sri Jelutung di Pahang serta Jalan Sikamat Lama di Negeri Sembilan.

Kesemua 11 kluster baharu itu menyumbang kepada sejumlah 1,163 kluster jangkitan Covid-19 yang dikesan di negara ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, sebanyak 676 kluster diisytiharkan tamat, termasuk 13 kluster pada hari ini iaitu Kluster Usaha, Kluster Jalan Timah Dua, Kluster Bukit Sekubong, Kluster Jalan Kinabenua, Kluster Tapak Bina Presint Tujuh, Kluster Jalan Sejahtera, Kluster Jalan Sulaman, Kluster Jalan Menerung, Kluster Tapak Bina Sri Petaling, Kluster Jalan Keluli, Kluster Kebor Air, Kluster Jalan Rantau-Siliau, dan Kluster Seri Lanang).

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 487 kluster masih lagi aktif.

"Sebanyak 74 kluster mencatatkan pertambahan kes baharu pada hari dan kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Batu Empat (198 kes), Kluster Jalan Pelabuhan (128 kes), dan Kluster Jalan DPB Lima (32 kes)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 7:56 PM