PENJENAYAH dikenali sebagai Amir sedang diburu. FOTO Ihsan Polis.
PENJENAYAH dikenali sebagai Amir sedang diburu. FOTO Ihsan Polis.
Melvin Joni
am@hmetro.com.my


Padawan: Polis sedang memburu seorang lelaki dikenali sebagai Amir, yang dipercayai menjadi dalang utama kes rompakan bersenjata bersama tiga lagi rakannya yang sudah ditangkap.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, kes dilaporkan kira-kira 2 pagi, pada 3 April lalu, apabila kumpulan perompak diketuai Amir memecah masuk sebuah rumah di Taman Juta Ria, Jalan Matang di sini.

"Tiga suspek yang ditangkap mengaku terbabit dalam kejadian itu bersama seorang lagi suspek yang masih bebas bernama Amir.

"Polis masih mengesan Amir yang dipercayai suspek utama dalam kes ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semasa kejadian, seorang lelaki berusia 20 tahun tinggal di dalam rumah berkenaan, yang bekerja mengubah suai rumah itu manakala pemiliknya tiada di rumah.

"Ketika sedang tidur, tiba-tiba pintu rumah diketuk individu tidak dikenali, selepas dibuka tiba-tiba tiga lelaki menyerbu masuk ke dalam rumah dan meletakkan parang di lehernya.

"Mereka kemudian melarikan barang-barang milik mangsa seperti telefon bimbit, motosikal termasuk alat gerudi serta dokumen peribadi mangsa," katanya.

Katanya, susulan laporan polis yang dibuat mangsa, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (JSJ IPD) Padawan berjaya menangkap dua suspek berusia 22 dan 25 tahun di Blok 7 RPR Matang, Taman Sri Makmur, Batu 6 Jalan Matang pada 1.15 petang hari sama.

"Kedua-dua suspek yang juga pekerja bengkel kereta dan penganggur juga didapati memiliki rekod jenayah lampau di bawah Kanun Keseksaan.

"Seorang lagi suspek berusia 22 tahun berjaya ditangkap jam 1.18 pagi pada 4 April di Block B, Level 4, Taman Suria Jaya, Padawan," katanya.

Sehubungan itu, Lim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Amir untuk menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Stiffan di talian 014-6750181.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 5:18 PM