HONDA EX5 yang nombor casisnya sudah diusik dipercayai dicuri suspek. Gambar kanan, komponen motosikal yang dileraikan dirampas dalam serbuan di sekitar Taman Malihah, Kuching. FOTO Ihsan PDRM
HONDA EX5 yang nombor casisnya sudah diusik dipercayai dicuri suspek. Gambar kanan, komponen motosikal yang dileraikan dirampas dalam serbuan di sekitar Taman Malihah, Kuching. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Padawan: Enam Jahanam! Itu gelaran paling sesuai diberikan kepada enam bersahabat yang aktif melakukan jenayah pecah rumah di Taman Malihah, di sini, serta beberapa taman perumahan berhampiran lain sejak beberapa bulan lalu bagi menampung kehidupan harian mereka.

Namun, kegiatan jenayah kumpulan penjenayah itu berkubur selepas polis menahan semua enam suspek berusia antara 17 hingga 48 tahun di beberapa lokasi berasingan di Matang, di sini dalam operasi khas sejak 14 April lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, semua suspek lelaki berkenaan ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, yang bertindak atas maklumat risikan dan aduan awam.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut, suspek mengakui terbabit dengan lima kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah ini dengan kerugian membabitkan nilai puluhan ribu ringgit.

“Semua suspek berperanan menjadi ‘pengawal’ di setiap lokasi rumah yang mahu dipecah masuk bagi memastikan kegiatan mereka tidak dihidu jiran atau orang awam.

“Beberapa suspek akan berada di luar rumah yang dipecah masuk bagi mengawal keadaan manakala rakan mereka yang lain memecah masuk sebelum menggeledah bagi mencari barangan dan wang tunai untuk dilarikan,” katanya.

Aidil berkata, dalam serbuan berkenaan juga polis menemui Honda EX5 yang nombor casisnya sudah diusik dipercayai dicuri suspek sebelum ini untuk kegunaan aktiviti harian dan jenayah.

Katanya, selain itu polis juga menemui lima televisyen pelbagai jenis di rumah suspek yang dipercayai hasil daripada kegiatan pecah rumah yang dilakukan mereka.

“Empat daripada suspek yang ditahan memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes curi selain pecah bangunan dan penyalahgunaan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan polis masih mengesan beberapa individu lain yang terbabit dengan kumpulan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 4:31 AM