ANTARA suspek yang ditahan polis dipercayai terbabit dalam serangan itu. FOTO Melvin Joni
ANTARA suspek yang ditahan polis dipercayai terbabit dalam serangan itu. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


SEORANG penjual sate cedera disamun dan diserang tiga lelaki dikenalinya selepas dituduh memberi maklumat kepada polis berkaitan kegiatan dadah dilakukan suspek.

Mangsa, Mohd Rabis Sabri Puley, 29, berasal dari Kampung Sandong, Padawan, Sarawak, turut kehilangan kereta Perodua Viva dan telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, kejadian dilaporkan berlaku di kawasan perumahan berhampiran Kampung Stapok, Jalan Batu Kawa sekitar jam 3 pagi semalam.

Menurutnya, mangsa yang melalui kawasan itu ditahan beberapa lelaki dikenalinya.

"Suspek bertindak menumbuk dan memukul mangsa menggunakan kayu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bibir dan dahi.

"Malah lutut mangsa turut cedera akibat dilibas menggunakan kayu hoki dan parang. Suspek kemudian merampas telefon bimbit dan melarikan kereta milik mangsa," katanya.

Menurutnya, mangsa yang disoal siasat mendakwa dituduh sebagai pemberi maklumat kepada polis berkaitan kegiatan dadah dilakukan suspek.

"Susulan laporan polis diterima daripada mangsa jam 8.20 pagi semalam, sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (JSJ IPD) Padawan berjaya menahan ketiga-tiga suspek di lokasi berasingan semalam.

"Ketiga-tiga suspek berusia 23 hingga 27 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 2:12 PM