Mustafa menunjukkan wang palsu yang dirampas. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Mustafa menunjukkan wang palsu yang dirampas. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuching: Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita sekitar Kuching, Matang dan Petra Jaya, kerana mencetak dan memiliki wang palsu antara 24 Mac hingga 30 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, semua suspek ditahan berusia 16 hingga 33 tahun.

Menurutnya, serbuan di tiga rumah itu turut menemui pelbagai peralatan mencetak wang palsu selain 38 keping wang palsu.

"Semua suspek dipercayai mencetak wang not RM100 itu untuk kegunaan sendiri seperti membeli barangan harian dan berhibur.

"Kumpulan ini sudah aktif sejak Jun tahun lalu berdasarkan laporan yang diterima polis dari peniaga di sekitar Kuching dan Padawan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, di sini, hari ini.

Katanya, semua suspek kini ditahan reman bagi siasatan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 489B serta 489C Kanun Keseksaan kerana mencetak dan memiliki wang palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 6:03 PM