ANGGOTA JSJ IPD Padawan menahan seorang janda dan remaja lelaki kerana menjalankan kegiatan penjualan judi dalam talian. FOTO Melvin Joni
ANGGOTA JSJ IPD Padawan menahan seorang janda dan remaja lelaki kerana menjalankan kegiatan penjualan judi dalam talian. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

SEORANG janda dan remaja lelaki seakan tidak serik apabila ditangkap buat kali kedua selepas dikesan menjalankan kegiatan judi dalam talian.

Kedua-dua suspek ditahan menerusi dua serbuan berasingan dalam Ops Dadu yang dijalankan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, tangkapan terhadap janda berusia 20 tahun itu dibuat sekitar jam 5.30 petang di premis Twin 95 Cafe, SL 90 Jalan Matang.

"Suspek mengaku bekerja sebagai penjual judi atas talian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seunit telefon bimbit dan wang tunai RM143 turut dirampas dari suspek, yang mempunyai satu rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 4(1)(c), Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Manakala, Aidil berkata, tangkapan ke atas remaja lelaki berusia 18 tahun terbabit dibuat sekitar jam 5.50 petang di pemis 98 cafe, Taman Lee Ling, Matang.

"Pasukan serbuan turut merampas seunit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM117 daripada suspek," katanya.

Beliau menambah suspek yang mengaku bekerja sebagai penjual judi atas talian juga mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 3:48 PM