SUSPEK ditahan polis di Jalan Mendu, Kuching jam 3.45 petang hari ini. FOTO Melvin Joni
SUSPEK ditahan polis di Jalan Mendu, Kuching jam 3.45 petang hari ini. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Padawan: Seorang lelaki ditahan polis selepas mencederakan dan mengugut mahu membunuh ibu bapanya di rumah mereka di Jalan Matang, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, tangkapan ke atas suspek dibuat susulan laporan polis oleh bapanya.

Katanya, dalam kejadian 6.20 petang itu, ketika mangsa berusia 78 tahun bersama isterinya di rumah, suspek tiba-tiba mengamuk dan mencekik ibunya.

"Suspek turut membaling pinggan ke arah ibunya tetapi tidak kena. Selepas beberapa minit, suspek bertindak menampar muka bapanya menggunakan pinggan sambil mengeluarkan kata-kata ugutan mahu membunuh mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidil berkata, suspek kemudian mengarahkan bapanya menghantar dia ke Siol Kandis untuk mengambil kereta namun sebelum keluar, dia bertindak menyembur racun serangga ke arah gas memasak di dapur sehingga api marak.

"Ekoran itu, bapa mangsa meminta suspek memadamkan api dan mengikut permintaannya anaknya untuk ke Siol Kandis.

"Semasa dalam kereta di Jalan Matang Baru, suspek bertindak agresif semula serta memecahkan cermin mata dan menumbuk bahu kiri bapanya.

"Pengadu memberhentikan kereta di tengah jalan raya dan keluar menyelamatkan diri," katanya.

Aidil berkata, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan berjaya menangkap suspek di Jalan Mendu, Kuching jam 3.45 petang hari ini serta merampas sebuah kereta digunakannya.

Katanya, suspek berumur 38 tahun yang sudah berkahwin dan menganggur itu tidak mengaku ada mencederakan dan mengugut membunuh ibu bapanya.

"Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta berstatus orang yang dikehendaki.

"Suspek juga disyaki terbabit dalam kes samun di Kampung Samariang Batu, Kuching," katanya.

Katanya, suspek akan direman esok untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 9:53 PM