Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Melvin Joni


MALU kerana kakaknya merosakkan tanaman jiran, seorang lelaki bertindak memukul wanita itu dengan rotan dan kayu di rumah mereka di Batu 9, Matang, Padawan dekat Kuching.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, kejadian berlaku pada 12.30 tengah hari semalam, ketika mangsa berusia 35 tahun berada dalam bilik tidur bersama anak perempuannya.

Katanya, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mengalami lebam di tangan kiri, cedera di belakang badan, paha dan bengkak di kepala.

"Dia dirawat semalaman di Hospital Umum Sarawak, manakala suspek berusia 28 tahun sudah ditahan pada 10.45 malam tadi.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian itu suspek tiba-tiba datang dan menendang pintu bilik tidur mangsa sambil membawa rotan. Dia kemudian menyerang mangsa dengan senjata itu selain kayu.

"Punca kejadian kerana suspek malu dan ingin 'mengajar' mangsa yang telah merosakkan tanaman jiran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidil berkata, suspek ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Telaga Air adalah seorang penganggur dan mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, dia mengaku bertengkar dan memukul mangsa, selain akan direman bermula hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 11:52 AM