Rosol Wahid (tengah)  melancarkan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Pasar Tani Presint 2. FOTO SAMADI AHMAD
Rosol Wahid (tengah) melancarkan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Pasar Tani Presint 2. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Putrajaya: Peniaga pasar tani dan pasar awam di pusat pentadbiran kerajaan di sini bakal diwajibkan menggunakan aplikasi e-wallet sebagai antara syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, berkata syarat yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat itu adalah sebagai usaha bagi memastikan pemain industri sektor peruncitan bersedia menghadapi model perniagaan baharu berkonsepkan pendigitalan. Katanya, pasar tani Putrajaya dipilih sebagai pelaksanaan fasa pertama Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Insiative-ReDI) dan fasa ke dua akan diperluaskan ke seluruh negara pada Mei.

"Kementerian menyasarkan 100 pasar tani dan pasar awam menggunakan kemudahan e-wallet menjelang hujung tahun ini," katanya pada sidang media pada Majlis Pelancaran Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan di Presint 2 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Mohamed Mustahapa Awang.

Fokus utama ReDI adalah bagi memastikan 12,844 peniaga di 306 pasar tani dan pasar awam di seluruh negara menyediakan kemudahan e-wallet.

ReDI adalah sinergi strategik pelbagai agensi kerajaan dan swasta membabitkan KPDNHEP dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Perbadanan Putrajaya (PPj), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Maybank, Touch n Go dan Axiata Berhad.

Rosol berkata, pihaknya menyasarkan 100 pasar tani dan beberapa pasar awam menyediakan kemudahan ini pada penghujung tahun ini.

Katanya, kelebihan menggunakan e-wallet itu menjadikan rekod kewangan peniaga mikro dan kecil terutama dalam kalangan pengusaha Bumiputera lebih tersusun.

"Peniaga juga mempunyai akses kepada pinjaman mikro bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan kepada pemegang e-wallet.

"Bagi memastikan sasaran itu tercapai, KPDNHEP memerlukan kerjasama strategik daripada FAMA, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta setiap pejabat KPDNHEP Negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 8:02 PM