Idris Musa


KEMENTERIAN Kesihatan bercadang mengembangkan platform bayaran tanpa tunai ke seluruh negara bagi memberi kemudahan kepada pesakit.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, platform itu pastinya akan memberikan keselesaan, sekali gus mengurangkan masa menunggu pesakit.

“Alhamdulillah, kami muncul kementerian pertama menggunakan pembayaran menggunakan e-wallet. Dalam waktu terdekat, Insya-Allah kita akan melakukan pendaftaran menggunakan Internet dan platform seperti ini.

“Ini dalam rangka kementerian memberikan keupayaan perkhidmatan penjagaan kesihatan digital.

“Kita memang dalam perancangan (di klinik lain) walaupun mengambil sedikit waktu. Kita akan kembangkan di seluruh negara,” katanya ketika melancarkan pelaksanaan e-wallet (Boost) di Klinik Kesihatan Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

DR Dzulkefly melancarkan e-wallet Kementerian Kesihatan di Klinik Kesihatan Cheras, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Bernama
DR Dzulkefly melancarkan e-wallet Kementerian Kesihatan di Klinik Kesihatan Cheras, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Bernama

Pelaksanaan e-wallet secara rintis membabitkan empat klinik kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Cheras, Kuala Lumpur; Presint 18 Putrajaya dan Seremban, mulai September lalu.

Ia adalah usaha kementerian itu dengan kerjasama Axiata Digital Ecode Sdn Bhd dan RHB Islamic Bank Berhad.

Menerusi platform itu, pesakit datang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan mempunyai pilihan untuk membuat bayaran selain secara tunai, kad kredit dan debit.

Dr Dzulkefly berkata, penggunaan e-wallet di klinik kesihatan secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kes kehilangan wang awam, sekali gus memupuk kesedaran integriti petugas kaunter dan meningkatkan imej perkhidmatan awam.

“Penggunaan e-wallet memberi nilai tambah kepada kementerian khususnya perkhidmatan kaunter.

“Saya berharap dengan adanya pembayaran secara e-wallet ini dapat meningkatkan lagi kecekapan penyampaian perkhidmatan klinik kesihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 12:22 AM